Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Fizik

Maison de I'UNESCO, Paris, Perancis

7-9 Mac 2002


Resolusi Persidangan



Pengenalan


Fizik memainkan peranan utama dalam kefahaman kita mengenai alam dan fizikawan menyumbang kuat terhadap kebajikan dan pembangunan ekonomi negara. Ilmu dan kemahiran menyelesaikan masalah yang ada pada fizikawan diperlukan dalam banyak pekerjaan, industri dan masyarakat amnya. Untuk berkembang maju dalam dunia teknologi yang pantas berubah hari ini, setiap negara perlu mempunyai populasi wanita dan lelaki yang tinggi pendidikannya, dan terlibat sepenuhnya dalam membuat keputusan penting bagi kesejahteraan mereka.

Maka itu ilmu fizik adalah penting sebagai sebahagian daripada literasi am bagi setiap rakyat. Disamping itu memajukan fahaman fizik adalah satu cabaran intelek yang merangsang yang dimanfaatkan daripada berbagai pendekatan yang berbagai dan saling melengkapi di ambil oleh kedua-dua lelaki dan wanita daripada banyak budaya. Kini wanita boleh dan akan menyumbang usaha ini dan, melalui fizik, terhadap kebajikan manusia, tetapi hanya dalam bilangan yang kecil: wanita adalah 'rezab intelek' yang kurang digunakan. Hanya apabila wanita terlibat sepenuhnya sebagai penyelidik di makmal, sebagai pemimpin dan guru sains, dan sebagai pembuat dasar maka baru mereka akan merasa sebagai pasangan setanding dalam masyarakat teknologi.

Ide dalam resolusi ini bermatlamat untuk menarik ramai lagi wanita kedalam aliran utama dan kepimpinan fizik. Kesemua resolusi ini telah dipersetujui sebulat suara oleh lebih daripada 300 fizikawan daripada 65 negara yang hadir di Persidangan Antarabangsa Pertama Wanita dalam Fizik, di Paris, Perancis 7-9 March 2002.

Setiap negara adalah berbeza. Maka itu peserta persidangan akan menterjemahkan resolusi ini ke dalam bahasa masing-masing. Ide di dalam resolusi ini akan diterjemahkan menggunakan ungkapan yang sesuai dan diarahkan kepada entiti bertanggungjawab dalam setiap negara.

  1. Resolusi yang ditujukan ke Sekolah dan Penaja Kerajaan Sekolah


Pelajar perempuan hendaklah diberi peluang dan galakan yang sama seperti pelajar lelaki untuk belajar fizik di sekolah. Apabila ibubapa dan guru memberi galakan kepada pelajar perempuan, ia akan meneguhkan kepercayaan diri mereka dan menolong mereka bertambah maju. Kaedah dan buku teks yang digunakan untuk mengajar fizik hendaklah termasuk perkara yang didapati dapat menarik pelajar perempuan terhadap fizik dan merangsangkan kejayaan mereka. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak perempuan mempunyai keinginan yang kuat untuk memperbaiki kehidupan orang lain, dan oleh itu adalah penting mereka diberi peluang melihat bagaimana fizik memberi dampak positif ke atas masyarakat.

2. Resolusi yang ditujukan ke Universiti

2.1 Pelajar



Universiti harus mengkaji dasar dan prosedur untuk memastikan yang pelajar wanita diberi peluang yang menjamin kejayaan, sama seperti pelajar lelaki. Semua dasar yang mengekalkan diskriminasi hendaklah dihapuskan, dan dasar yang mempromosikan penyertaan diterimapakai.

Ini mungkin melibatkan menerimapakai amalan seperti: menggunakan pendekatan multidisiplin yang lebar terhadap fizik; menyediakan kriteria masukan yang anjal ke dalam fizik major; membenarkan penyertaan awal dalam penyelidikan; menyediakan mentor; dan mendedahkan pelajar kepada sumbangan penting yang fizik berikan kepada sains-sains yang lain, perubatan, industri dan kualiti hidupan harian. Menerimapakai amalan-amalan ini boleh memberi, khususnya, kesan positif ke atas wanita muda, mereka yang seringkali berasa terpencil dan tidak diterima ke dalam fizik.



2.2 Fakulti dan Penyelidik


Kajian akhir-akhir ini telah menunjukkan bahawa, walau pun di institusi penyelidikan terulung, saintis wanita telah tidak dilayan secara adil berbanding rakan sekerja mereka yang lelaki. Ini bukan hanya berbahaya kepada wanita dalam sains, tetapi untuk jangka masa yang panjang, adalah turut berbahaya kepada sains. Universiti mestilah menyemak dan mengkomunikasikan dasar dan amalan untuk memastikan yang mereka mempromosikan kesaksamaan; memang penting yang universiti menjamin mekanisma pengambilan dan kenaikan pangkat yang jelas dan adil. Unsur-unsur tambahan untuk kejayaan adalah perolehan peruntukan penyelidikan dan prasarana dan masa yang mencukupi untuk penyelidikan.

Kehidupan berkeluarga tidak sepatutnya menghalang wanita daripada menyertai kerjaya dalam sains. Persekitaran yang mesra keluarga seperti menyediakan prasarana seperti kemudahan penjagaan anak, jadual kerja yang anjal dan peluang kerja bagi keluarga dua kerjaya yang membolehkan kejayaan.

Pentadbiran universiti telah didapati dikuasai oleh kaum lelaki. Wanita perlu disertakan ke dalam pentadbiran universiti dan jabatan fizik, terutama sekali dalam jawatankuasa dasar yang utama. Wanita mesti ada input ke dalam dasar yang mengawal untung nasib mereka. Adalah penting untuk pembangunan fizikawan wanita muda melihat wanita yang berjaya dalam penyelidikan, pengajaran dan kepimpinan.



3. Resolusi yang ditujukan ke Institusi Penyelidikan



Institusi penyelidikan boleh beroleh keuntungan daripada polisi yang membenarkan kejayaan saintis wanita. Pengarah-pengarah institut harus memastikan agar polisi yang mempromosikan keadilan tanpa memperbezakan jantina di sertakan dalam polisi institusi dan memastikan juga bahawa polisi tersebut di kuatkuasakan. Seringkali seakan suatu halangan yang dipanggil "bumbung kaca" telah menyekat kemajuan wanita dalam kerjayanya.



Pengarah-pengarah institut juga harus mengambil bahagian yang aktif dalam memastikan bahawa amalan yang mesra keluarga seperti kemudahan penjagaan anak dan jadual kerja yang fleksibel adalah tersedia untuk semua pekerjanya. Kajian telah berulangkali menunjukkan bahawa kerisauan utama kaum wanita adalah bagaimana untuk mengimbangi kerjaya dan keluarganya; kehidupan berkeluarga tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada penglibatan dan kejayaan mereka dalam penyelidikan saintifik.



4. Resolusi yang ditujukan ke Makmal Industri



Makmal industri boleh beroleh keuntungan daripada polisi yang membenarkan kejayaan saintis wanita. Pengurus industri dan pengarah penyelidikan harus memastikan agar polisi yang mempromosikan keadilan tanpa membezakan jantina di sertakan dalam polisi institusi dan memastikan juga bahawa polisi tersebut di kuatkuasakan. Seringkali seakan suatu halangan yang dipanggil "bumbung kaca" telah menyekat kemajuan wanita dalam kerjayanya.

Pengurus industri juga harus mengambil bahagian yang aktif dalam memastikan bahawa amalan yang mesra keluarga seperti kemudahan penjagaan anak dan jadual kerja yang fleksibel adalah tersedia untuk semua pekerjanya. Kajian telah berulangkali menunjukkan bahawa kerisauan utama kaum wanita adalah bagaimana untuk mengimbangi kerjaya dan keluarganya; kehidupan berkeluarga tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada penglibatan dan kejayaan mereka dalam penyelidikan saintifik.



5. Resolusi yang ditujukan ke Pertubuhan Saintifik



Pertubuhan yang saintifik dan profesional boleh dan seharusnya mengambil peranan yang utama dalam menambahkan bilangan dan memastikan kejayaan wanita dalam fizik. Setiap pertubuhan seharusnya mempunyai satu jawatankuasa atau kumpulan bekerja yang bertanggungjawab ke atas isu-isu tersebut dan memberi cadangan secara keseluruhan kepada pertubuhan. Paling minima, pertubuhan seharusnya melakukan perkara-perkara berikut: bekerjasama dengan organisasi lain untuk mengumpul dan memastikan tersedia ada data statistik berhubungan dengan penglibatan wanita dalam fizik dalam semua peringkat; mengenalpasti fizikawan wanita dan memberi publisiti kepada mereka supaya menjadi sebagai wanita contoh atau "role model"; memasukkan wanita dalam jawatankuasa program dan sebagai penceramah jemputan untuk perjumpaan tajaan pertubuhan dan persidangan; dan memastikan penyertaan wanita dalam badan penyunting bagi jurnal pertubuhan.

6. Resolusi yang ditujukan ke Kerajaan Negara



Fizik memainkan peranan yang penting dalam memahami alam kehidupan and fizikawan menyumbang kuat kepada pembangunan ekonomi, kebudayaan dan kesejahteraan negara. Oleh itu, adalah untuk kebaikan setiap negara untuk memberikan pendidikan fizik yang mantap untuk semua rakyatnya dan untuk memberi sokongan kepada pendidikan dan penyelidikan lanjutan. Kerajaan mesti memastikan bahawa kaum wanita diberi laluan dan peluang untuk berjaya di dalam penyelidikan dan pendidikan, seperti kaum lelaki. Wanita seharusnya mengambil bahagian dalam perancangan negara dan jawatankuasa pengkajian semula, dan penganugerahan dana kerajaan hendaklah diberikan cuma kepada organisasi dan institusi yang tidak membezakan jantina sebagai sebahagian daripada polisi mereka.

  1. Resolusi yang ditujukan Ke Agensi Kelulusan


Agensi yang memberi dana atau peruntukan untuk penyelidikan saintifik memainkan peranan utama dalam mempromosikan kejayaan saintis individu dan juga kejayaan sains secara keseluruhan. Kajian lepas telah menunjukkan terdapat diskriminasi jantina dalam proses pertimbangan kelulusan. Oleh itu, untuk memastikan bahawa wanita mendapat peluang yang sama seperti lelaki untuk mendapatkan peruntukan penyelidikan, setiap persaingan untuk dana seharusnya dibuat secara telus dan diberi publisiti yang meluas; kriteria untuk mendapatkan dana seharusnya jelas; dan wanita seharusnya dimasukkan dalam kesemua jawatankuasa pertimbangan dan keputusan. Had umur kelayakan atau struktur bantuan kewangan dan jangkamasa yang merugikan secara serius pemohon yang mengambil cuti keluarga, seharusnya dipertimbangkan semula. Agensi kelulusan seharusnya mempertahankan dan mempunyai data statistik menurut jantina, termasuk maklumat seperti pecahan dan kelulusan kaum wanita dan lelaki yang memohon peruntukan dan yang telah mendapat peruntukan.



8. Resolusi yang ditujukan ke IUPAP



IUPAP adalah satu organisasi antarabangsa fizikawan, oleh itu ia mempunyai pengaruh yang agak besar kepada masyarakat fizikawan menerusi pernyataan dan aktiviti nya. IUPAP seharusnya bukan sahaja mengesahkan kesemua resolusi yang ditujukan kepada kumpulan-kumpulan yang telah disebutkan di atas, tetapi juga meneliti semula segala tindakannya untuk memastikan bahawa ia akan menyumbang kepada peningkatan bilangan dan kejayaan wanita dalam fizik. Adalah juga penting untuk IUPAP menyebarkan keputusan persidangan ini kepada organisasi-organisasi saintifik antarabangsa dalam bidang lain. Dalam pemilihan ahli Majlis Mesyuarat Kerja dan Suruhanjaya IUPAP, carakerja seharusnya di tubuhkan bagi memastikan penglibatan wanita sepenuhnya. IUPAP menaja persidangan antarabangsa yang utama; demonstrasi bahawa kaum wanita dimasukkan dalam Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa dan Jawatankuasa Program, seharusnya dijadikan sebagai salah satu kriteria untuk penajaan tersebut. IUPAP seharusnya memastikan agar penganjur persidangan melaporkan pengagihan jantina dalam senarai penceramah jemputan mereka. Jawatankuasa perhubungan seharusnya juga menganjurkan resolusi-resolusi ini di negara mereka. IUPAP seharusnya meneruskan Kumpulan Bekerja dalam Wanita Fizik dan memberi kuasa kepada kumpulan tersebut untuk menubuhkan satu jawatankuasa penasihat antarabangsa dengan seorang ahli di seberapa banyak negara yang mungkin. Akhir sekali, kumpulan ini akan bertindak sebagai satu landasan untuk satu rangkaian yang boleh meneruskan usaha peningkatan bilangan dan kejayaan kaum wanita dalam fizik.




_____________________________________________IUPAP

Wanita dalam Fizik


Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Fizik